ILMU PUASA


DEFINISI

Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.
Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.






NIAT PUASA

Tinggal berapa bulan lagi kita semua umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak....Jadi sebagai ingatan sendiri dan juga perkongsian bersama, saya kongsikan lafaz niat puasa fardhu Ramadan.
Lafaz niat puasa fardhu Ramadan
Niat puasa RamadanErtinya: Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Doa Ketika Berbuka Puasa
Doa berbuka puasaErtinya: Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.
sumber: http://kulanzsalleh.com/lafaz-niat-puasa-fardhu-ramadhan/




Adab - Adab Berpuasa di Bulan Ramadhan

Tanggal 1 Ramadhan seluruh umat islam di seluruh dunia akan mula berpuasa. Kita di Malaysia 1 Ramadhan bersamaan dengan 1 Ogos dan kita akan menyambut 1 Ramadhan pada esok hari. Berpuasa di Bulan Ramadhan merupakan satu kewajipan ke atas seluruh umat islam yang termasuk di dalam Rukun Islam yang ke-3.

Setiap orang yang mengerjakan ibadah puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.



Sumber: 
 http://www.zuarxpdc.com/2011/07/adab-adab-berpuasa-di-bulan-ramadhan.html




Hari-hari yang diharamkan berpuasa



  1. Hari Syak iaitu hari yang apabila ia ragu tarikh sebenar Ramadhan (30 Sya'ban). Ini berdasarkan hadith dari Ammar bin Yasir r.a yang bermaksud :
    " Sesiapa berpuasa pada hari syak, sesungguhnya dia telah menderhaka Abu Al-Kasim (Muhammad) s.a.w."
  2. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha iaitu 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud :
    " Bahawa Rasullullah s.a.w menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya fitri dan hari raya adha "
  3. Hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith daripada Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :
    " Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan dan minum juga hari mengingati Allah s.w.t "
  4. Hari Haid dan Nifas.
  5. Ulama' Mazhab Syafii berpendapat adalah haram berpuasa pada separuh akhir bulan Sya'ban yang mana ada di antaranya hari Syak melainkan mereka yang biasa berpuasa sepanjang tahun atau bagi mereka yang berpuasa pada hari tertentu seperti hari Isnin dan Khamis yang puasanya berkebetulan dengan hari selepas 15 Sya'ban atau puasa nazar yang tertanggung ke atasnya atau puasa qada' atau fardhu ataupun puasa yang bersambung dengan puasa selepas Sya'ban dan puasa sebelumnya walaupun satu hari sebelum 15 hari Sya'ban kerana berdasarkan hadith yang bermaksud :

    " Apabila telah tiba pertengahan bulan Sya'ban, janganlah kamu berpuasa " (Riwayat Ahmad)

    Mazhab Hanbali dan mazhab-mazhab lain tidak berpegang kepada hadith ini kerana ia da'if menurut pendapat Imam Ahmad.

    Sumber : Fiqh Islami wa Adilatuh - Dr. Wahbah Zuhaili
  6. Puasa bagi orang yang bimbangkan dirinya binasa kerana puasa tersebut.





1 comment:

  1. sesungguhnya puasa memang medan yang amat baik dalam melatih diri kita sebagai umat Islam yang lebih gemilang

    ReplyDelete